چارا دان ڤندكتن ڤڠاجرن / ڤمبلاجرن توليسن جاوي


چارا دان ڤندكتن ڤڠاجرن دان ڤمبلاجرن توليسن جاوي

ڤڠاجرن جاوي ممڤوڽاءي قاعده ڤڠاجرن يڠ خصوص دان ترسنديري. نامون راماي يڠ بيرڠڬڤن قاعده مڠاجر جاوي سام سڤرتي قاعده ڤڠاجرن مات ڤلاجرن لاين دالم ڤنديديقن اسلام. تڠڬڤن سبڬيتو كورڠ تڤت. قاعده ڤڠاجرن جاوي يڠ دسارنكن اوليه ڤيهق كمنترين ڤنديديقن مليسيا ﴿قڤي عيم﴾ دان تله دبري ڤندداهن سچارا خصوص كڤد باكل-باكل ڬورو ڤنديديقن اسلام دان ج-قاف ﴿كمنترين ڤلاجرن مليسيا 2006﴾. قاعده-قاعده ترسبوت اياله قاعده ڤندڠ سبوت، قاعده حروف ﴿ابجد﴾، قاعده بوڽي ﴿ڤونيتيق﴾، قاعده مڠيجا/ ممباتڠ، قاعده املاء، قاعده لاتيه توبي، قاعده ڤرماءينن دان قاعده ڽاڽين.

ڤندڠ سبوت .1
ممبوڽيكن ڤركاتان اتاو سوكو كات برداسركن ڬمبر
ممبوڽيكن ايات برداسركن ڬمبر يڠ اد چريتا.
تيدق ممفوكوسكن كڤد ڤڠاجرن بوڽي حروف دان تيدق مڠيجا.
قاعده ڤاليڠ ڤوڤولر دالم ڤڠاجرن جاوي دان منجيمتكن ماس ڬورو.

قاعده حروف ﴿ابجد﴾ .2
اساس باچان اياله بوڽي ڤد ستياڤ حروف يڠ ممبنتوق ڤركاتان.
ممڤركنلكن كسموا 37 حروف جاوي، حروف ۏوكل دان حروف كونسونن.
چنتومن حروف كونسونن ۏوكل ممبنتوق بوڽي دالم سوكو كات ستروسڽ ممبنتوق ڤركاتان.
ممبوليهكن موريد داڤت مڠيجا دان ممباچ سموا ڤركاتان.
مڠمبيل ماس يڠ لاما اونتوق مڠيجا ستياڤ ڤركاتان.
قاعده اساس يڠ ڤاليڠ توا دڬوناكن.

قاعده بوڽي ﴿ڤونيتيق﴾ .3
اساس باچان يڠ منكنكن هوبوڠن سيمبول دان بوڽي.
باڽق مڠڬوناكن تيكنيك اسياوساسي بوڽي دان اسياوساسي ڬمبر سڤرتي بوڽي ‘اياي' باڬي جيجيق دان ‘اا' باڬي ڤدس/ ڤانس.
ممڤركنلكن بوڽي-بوڽي اساس دهولو سبلوم ممڤركنلكن سموا بوڽي.
امت سسواي دأجر كڤد كانق-كانق يڠ بارو مڠنالي حروف جاوي.

مڠيجا/ ممباتڠ .4
مڠيجا دڠن مڽبوت ساتو دمي ساتو حروف يڠ ممبنتوق سوكو كات.
مڠيجا دان ممبوڽيكن حروف سچارا اينديۏيدو، كومڤولن دان كلس.
مڠڬابوڠكن سوكو كات دايجا دان ممبنتوق ڤركاتان.
مڠيجا دان منوليس ڤركاتان يڠ دبنتوق.

املاء .5
مليبتكن كماهيرن مندڠر دان منوليس سچارا ميكانيسمى.
مڽالين اونيت بهاس سام اد حروف، سوكو كات، ڤركاتان، ايات اتاوڤون واچان.
ممباچ دڠن سوارا يڠ لنتڠ سومبر يڠ دتوليس. مڠڬوناكن كماهيرن مندڠر دڠن جلس دان ملاتيه كماهيرن مڽبوت دڠن اينتوناسي يڠ بتول.

لاتيه-توبي .6
جوڬ دكنلي دڠن قاعده اولڠن، تيقرار دان امت همڤير دڠن قاعده حفظن.
اكتيۏيتي مڠولاڠي فكتا دان كچكڤن كماهيرن يڠ دڤلاجري.
ممڤو منچاڤأي تارف ڤڠواسأن كماهيرن دان مڠكلكنڽ.

ڤرماءينن .7
ساتو قاعده ملاتيه موريد دڠن مناريق دان ڤركتيس.
داڤت مڠمبڠكن باڽق كماهيرن موريد-موريد.
امت سسواي دڠن موريد-موريد ڤريڠكت رنده.
امت بركسن دالم مموڤوك مينت، توجوان دان ايمڤق ڤڠاجرن.

 
ڽاڽين/ نشيد .8
سلاري دڠن مينت دان تاهڤ موريد سكوله رنده يڠ ساڠت سوك مڽاڽي/ برنشيد.
ڤرلو دسسوايكن دڠن ايسي كندوڠن ڤڠاجرن سڤرتي لاڬو ‘اا، با، تا' دان ‘راس سايڠ جاوي'.
امت بركسن دالم ممبنتو موريد-موريد مڠيڠاتي، حروف-حروف جاوي دان مڠيجا ڤركاتان.
والاوڤون ڬورو دمينتا مميليه ڤندكتن دان قاعده يڠ ڤاليڠ سسواي باڬي ڤروسيس ڤڠاجرن دان ڤمبلاجرن مريك. تيدكله برارتي مريك هاڽ ڤرلو مڠڬوناكن ساتو-ساتوڽ قاعده يڠ دفيكيركن ترباءيق دالم ستياڤ ڤڠاجرن دان ڤمبلاجرن. بهكن ڤڠاجرن دان ڤمبلاجرن يڠ باءيق اكن ممڤلباڬايكن ڤڠڬوناان قاعده دالم ستياڤ لڠكه ڤڠاجرن. جوسترو ڤماهمن ڬورو ترهادڤ ستياڤ ڤندكتن دان قاعده يڠ دڬوناكن ڤرلو جلس، بتول دان منتڤ.

باڬي منجامين كبركسانن موديل كلس ڤموليهن جاوي ڤولا، ڬورو-ڬورو جقاف امت دڬالقكن مڠڬوناكن قاعده ڤرماءينن دان ڽاڽين سماس سيسي ڤڠاجرن دان ڤمبلاجرن مريك. جوسترو ايتله، كمنترين ڤنديديقن مليسيا تله ممبكلكن برباڬاي باهن بنتو مڠاجر ﴿ببم﴾ كڤد ڬورو-ڬورو ج-قاف اونتوق داڤليكسيكن د دالم كلس ڤموليهن جاوي. انتارا باهن ڤرماءينن يڠ دبكلكن اياله ڤرماءينن بوليڠ، تنتيڠ، كاد حروف، كريتا اڤي، ڤنچيڠ ايكن، رومه مرڤاتي دان سناوي اتاو ساهيببا ﴿كمنترين ڤلاجرن مليسيا 2006﴾. 






Cara dan Pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran Tulisan Jawi

Pengajaran Jawi mempunyai kaedah pengajaran yang khusus dan tersendiri. Namun ramai yang beranggapan kaedah mengajar jawi sama seperti kaedah pengajaran mata pelajaran lain dalam Pendidikan Islam. Tanggapan sebegitu kurang tepat. Kaedah pengajaran jawi yang disarankan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan telah diberi pendedahan secara khusus kepada bakal-bakal guru Pendidikan Islam dan j-QAF (Kementerian Pelajaran Malaysia 2006). Kaedah-kaedah tersebut ialah kaedah pandang sebut, kaedah huruf (abjad), kaedah bunyi (fonetik), kaedah mengeja/ membatang, kaedah imlak, kaedah latih tubi, kaedah permainan dan kaedah nyanyian.

1.   Pandang Sebut
Membunyikan perkataan atau suku kata berdasarkan gambar
Membunyikan ayat berdasarkan gambar yang ada cerita.
Tidak memfokuskan kepada pengajaran bunyi huruf dan tidak mengeja.
Kaedah paling popular dalam pengajaran jawi dan menjimatkan masa guru.

2.Kaedah Huruf (Abjad)
Asas bacaan ialah bunyi pada setiap huruf yang membentuk perkataan.
Memperkenalkan kesemua 37 huruf jawi, huruf vokal dan huruf konsonan.
Cantuman huruf konsonan vokal membentuk bunyi dalam suku kata       seterusnya membentuk perkataan.
Membolehkan murid dapat mengeja dan membaca semua perkataan.
Mengambil masa yang lama untuk mengeja setiap perkataan.
Kaedah asas yang paling tua digunakan.

3.Kaedah Bunyi (Fonetik)
Asas bacaan yang menekankan hubungan simbol dan bunyi.
Banyak menggunakan teknik asiosasi bunyi dan asiosasi gambar seperti bunyi ‘eee’ bagi jijik dan ‘aa’ bagi pedas/ panas.
Memperkenalkan bunyi-bunyi asas dahulu sebelum memperkenalkan semua bunyi.
Amat sesuai diajar kepada kanak-kanak yang baru mengenali huruf jawi.

4.Mengeja/ Membatang
Mengeja dengan menyebut satu demi satu huruf yang membentuk suku kata.
Mengeja dan membunyikan huruf secara individu, kumpulan dan kelas.
Menggabungkan suku kata dieja dan membentuk perkataan.
Mengeja dan menulis perkataan yang dibentuk.

5.Imlak
Melibatkan kemahiran mendengar dan menulis secara mekanisme.
Menyalin unit bahasa sama ada huruf, suku kata, perkataan, ayat ataupun wacana.
Membaca dengan suara yang lantang sumber yang ditulis. Menggunakan kemahiran mendengar dengan jelas dan melatih kemahiran menyebut dengan intonasi yang betul.

6.Latih-tubi
Juga dikenali dengan kaedah ulangan, tikrar dan amat hampir dengan kaedah hafazan.
Aktiviti mengulangi fakta dan kecekapan kemahiran yang dipelajari.
Mampu mencapai taraf penguasaan kemahiran dan mengekalkannya.

7.Permainan
Satu kaedah melatih murid dengan menarik dan praktis.
Dapat mengembangkan banyak kemahiran murid-murid.
Amat sesuai dengan murid-murid peringkat rendah.
Amat berkesan dalam memupuk minat, tujuan dan impak pengajaran.

8.Nyanyian/ Nasyid
Selari dengan minat dan tahap murid sekolah rendah yang sangat suka menyanyi/ bernasyid.
Perlu disesuaikan dengan isi kandungan pengajaran seperti lagu ‘aa, ba, ta’ dan ‘Rasa Sayang Jawi’.
Amat berkesan dalam membantu murid-murid mengingati, huruf-huruf jawi dan mengeja perkataan.
    Walaupun guru diminta memilih pendekatan dan kaedah yang paling sesuai bagi proses pengajaran dan pembelajaran mereka. Tidaklah bererti mereka hanya perlu menggunakan satu-satunya kaedah yang difikirkan terbaik dalam setiap pengajaran dan pembelajaran. Bahkan pengajaran dan pembelajaran yang baik akan mempelbagaikan penggunaan kaedah dalam setiap langkah pengajaran. Justeru pemahaman guru terhadap setiap pendekatan dan kaedah yang digunakan perlu jelas, betul dan mantap.

     Bagi menjamin keberkesanan Model Kelas Pemulihan Jawi pula, guru-guru jQAF amat digalakkan menggunakan kaedah permainan dan nyanyian semasa sesi pengajaran dan pembelajaran mereka. Justeru itulah, Kementerian Pendidikan Malaysia telah membekalkan berbagai bahan bantu mengajar (BBM) kepada guru-guru j-QAF untuk diaplikasikan di dalam kelas Pemulihan Jawi. Antara bahan permainan yang dibekalkan ialah permainan Boling, Tenteng, Kad Huruf, Kereta Api, Pancing Ikan, Rumah Merpati dan Senawi atau Sahibba (Kementerian Pelajaran Malaysia 2006). 


No comments:

Post a Comment